Ronaldo kutuk serangan terhadap Sporting
LISBON: Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo menyuarakan sokongan terhadap pemain Sporting Lisbon yang dikejutkan dengan serangan kumpulan gengster di pusat latihan kelab itu, minggu lalu.
Kira-kira 50 lelaki bertopeng dan secara ganas menyerang pemain dan pegawai pasukan di pusat latihan kelab itu, Selasa lalu menyaksikan pemain antarabangsa Belanda, Bas Dost terpaksa menerima jahitan di lehernya.
"Saya 100 peratus di belakang mereka," kata Ronaldo yang memulakan karier bersama Sporting menerusi akademi kelab berkenaan kepada stesyen televisyen Portugal, RTP.
"Ia situasi yang menyusahkan. Saya perlu sentiasa berada di pihak pemain dan jurulatih. Kami melakukan perkara yang sama."

Begitupun, bintang Real Madrid itu enggan untuk memberikan nasihat terhadap pemain Sporting bagaimana untuk bertindak balas terhadap situasi berkenaan dengan berkata dia bukan "insan yang terbaik untuk melakukannya."
"Semua orang membuat keputusan mereka sendiri dan kamu perlu menghormatinya," katanya.
Seramai 23 orang masih berada dalam tahanan susulan serangan di pusat latihan Sporting, Alcochete yang terletak di luar bandar Lisbon.
Insiden berkenaan hadir selepas pertembungan final Piala Portugal, Ahad lalu yang menyaksikan Sporting tewas 1-2 kepada Aves untuk melengkapkan musim penuh mengecewakan.
Sporting menamatkan saingan liga di tangga ketiga susulan kekalahan di Maritimo pada perlawanan terakhir liga musim ini sekali gus terlepas tiket ke saingan kelayakan Liga Juara-Juara musim depan. - Reuters
0 Response to "Ronaldo kutuk serangan terhadap Sporting"
Posting Komentar